Dakwaan PH terima 10 peratus undi Melayu hanya pandangan politik Khairy

Dakwaan PH terima 10 peratus undi Melayu hanya pandangan politik Khairy

FAHMI Fadzil bergambar bersama penduduk ketika menghadiri Program Wayang Pacak di Pekan Rompin, Jempol, malam ini.- UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa calon Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh kira-kira 10 peratus undi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah sekadar pandangan politik.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, senario politik di Negeri Sembilan jauh berbeza berbanding di Johor kerana rakyat negeri ini bijak menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Saya percaya situasi di Negeri Sembilan jauh berbeza. Saya percaya rakyat Negeri Sembilan bijak dan faham tentang kejayaan serta keupayaan pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Datuk Seri Aminuddin telah berkhidmat dengan cukup cemerlang menjaga orang Melayu, orang Cina, orang India, Orang Asli dan seluruh rakyat Negeri Sembilan dengan sangat baik.

“Penerimaan terhadap beliau saya percaya cukup baik dan saya rasa itu hanya sekadar pandangan politik seorang seperti Khairy Jamaluddin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Wayang Pacak di Pekan Rompin, di sini, malam ini.

Semalam, Khairy berkata, pemimpin PH perlu bermuhasabah dan berhenti menyalahkan UMNO berhubung kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap gabungan itu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut mendakwa, berdasarkan satu kajian terhadap keputusan PRN Johor, calon-calon PH hanya memperoleh kurang daripada 10 peratus undi Melayu.

Sementara itu, Fahmi berkata, sehingga kini tiada sebarang perbincangan di peringkat kerajaan berhubung persediaan bagi mengadakan Pillihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat.

Katanya, mengikut Perlembagaan, PRU16 boleh diadakan selewat-lewatnya pada hujung tahun depan serta fokus kerajaan ketika ini adalah kepada pentadbiran negara serta pemulihan ekonomi.

“Kita tidak ada bincang apa-apa dan PRU boleh diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan. Fokus pentadbiran sekarang ini sebenarnya seperti yang Perdana Menteri telah sebutkan, bukan politik berpanjangan, bukan pilihan raya berpanjangan.

“Tetapi adalah untuk mengatasi masalah-masalah ekonomi akibat daripada konflik di Asia Barat. Jadi fokus Perdana Menteri adalah ke arah kestabilan dan menyelesaikan isu-isu ekonomi, bukan pilihan raya umum,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN