SEREMBAN: Manifesto Perikatan Nasional (PN) dihasilkan dalam bentuk ringkas tanpa perlu melibatkan sebarang perincian mengenai angka-angka tertentu bagi memudahkan rakyat memahaminya.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana, manifesto bukan Rancangan Malaysia yang perlu dijelaskan secara terperinci.
“Manifesto bukan Rancangan Malaysia yang penuh dengan angka-angka tetapi ia adalah idea yang akan dilontarkan kepada rakyat.
“Sudah tentu, di peringkat pasukan yang merangka manifesto, sama ada di pihak Barisan Nasional atau di pihak PN, kami telah meneliti satu persatu angka-angka dan tidak ada keperluan untuk kami bentangkan angka sebab ia akan jadi panjang.
“Paling mustahak bagi kami adalah apa yang ingin disampaikan dalam bahasa yang mudah, yang ingin kita sampaikan supaya rakyat boleh faham,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Manifesto PN di Kompleks Pas Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Terdahulu, Samsuri yang juga Naib Presiden Pas membentangkan manifesto PN yang disediakan dalam dokumen sehelai kertas yang mengandungi idea untuk membangunkan pakej pelaburan baharu dalam sektor aeroangkasa.
Manifesto itu antara lain mengandungi teras ekonomi yang akan meneroka dan membangunkan Pelan Ekonomi Biru Negeri Sembilan serta penaiktarafan infrastruktur sokongan industri gas dan minyak dan penubuhan Sekretariat TVET Negeri dengan program Tahfiz TVET.
Beliau berkata, manifesto yang dirangka oleh PN merupakan pelengkap kepada manifesto yang telah dilancarkan oleh BN semalam, dengan 14 tawaran tambahan.
“Apa yang kami bentangkan pada malam ini adalah ruang-ruang yang tidak disebut di dalam manifesto BN.
“Itulah yang kami katakan sebagai melengkapkan keseluruhan manifesto yang akan dilaksanakan sekiranya muafakat BN-PN mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN










