KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki utama, Aaron Chia bersedia untuk berpisah dengan Soh Wooi Yik buat seketika apabila membuka pintu kepada percubaan gandingan baharu menjelang Sukan SEA Thailand bulan depan.
Juara dunia 2022 itu berkata, temasya dwitahunan berkenaan menjadi pentas paling sesuai untuk mencuba kombinasi baharu kerana tidak menawarkan sebarang mata ranking dunia.
“Saya pun harap dekat Sukan SEA nanti kita boleh cuba pasangan berbeza (scratch pair) dan tengok bagaimana hasilnya. Memang sudah ada perbincangan dengan jurulatih.
“Lagipun, Sukan SEA bukan kejohanan yang menawarkan mata ranking, jadi ia satu pentas sesuai untuk kita cuba benda baharu,” kata Aaron selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Aaron yang pernah meraih pingat emas bersama Wooi Yik di Sukan SEA Filipina 2019 menjelaskan, perubahan itu bukan langkah suka-suka, sebaliknya strategi jangka panjang menjelang Piala Thomas 2026 di Denmark.
“Kadang-kadang scratch pair ni boleh jadi lagi kuat. Lawan pun sukar nak jangka. Ia boleh jadi satu kelebihan buat pasukan juga kan.
“Contohnya seperti Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, mereka pun pada asalnya merupakan scratch pair, tetapi akhirnya berjaya menjadi gandingan mantap dan beri kejutan kepada lawan,” kata Aaron.
Tambah Aaron, cadangan itu dibuat bagi menguji potensi dan dinamik baharu dalam skuad beregu lelaki negara yang semakin sengit saingannya di peringkat dunia.
Beliau menegaskan, segala keputusan akhir akan ditentukan oleh barisan kejurulatihan, namun tidak menolak kemungkinan bergandingan dengan satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong atau Tee Kai Wun.
“Siapa pun sama saja dan saya yakin untuk bergandingan dengan sesiapa pun. Yang penting sasaran kita adalah pingat emas. Kita akan usaha sehabis baik,” katanya.-UTUSAN









