PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berharap segala kemelut membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dapat diselesaikan segera.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, penyelesaian segera penting bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap kelancaran jadual pertandingan serta undian rasmi Piala Asia 2027.
Menurut Windsor, pihaknya tidak mahu isu FAM dengan FIFA berlarutan terlalu lama, sebaliknya mahu segala proses perundangan dan rayuan diselesaikan selewat-lewatnya sebelum 31 Mac 2026.
“Saya berharap proses ini dapat dipercepatkan dan selesai sebelum 31 Mac 2026, iaitu tarikh terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2027. Selepas itu, fokus kami adalah kepada persiapan undian kejohanan tersebut,” katanya.
Kenyataan itu memberi isyarat jelas kepada FAM agar mempercepatkan langkah penyelesaian dan tidak membiarkan isu tersebut menjejaskan peluang pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.
FAM kini sedang menunggu keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Rayuan FIFA selepas mengemukakan rayuan berhubung hukuman yang dikenakan sebelum ini terhadap tujuh pemain warisan dan denda kewangan.
Jika keputusan rayuan itu tidak memihak kepada FAM, badan induk bola sepak negara itu masih mempunyai satu talian hayat terakhir untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mendapatkan keadilan.-UTUSAN

 
								 
											









