Pasar Sera Raya, usahawan tempatan raih ribuan ringgit

Pasar Sera Raya, usahawan tempatan raih ribuan ringgit

SUASANA meriah di Pasar Sera Raya, Rumah Pahang di Kuantan, Pahang yang menjadi tumpuan pengunjung mencari persiapan Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bahang Hari Raya Aidilfitri semakin dirasakan apabila pekarangan Rumah Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur di sini, bertukar wajah menjadi pusat kreativiti dan kemeriahan menerusi penganjuran Pasar Sera Raya, yang julung kali diadakan di lokasi ikonik tersebut.

Kerjasama strategik antara Yayasan Pahang dan Sera Group Enterprise ini bukan sekadar bazar biasa, malah mencatat sejarah sebagai edisi pertama Pasar Sera Raya di Rumah Pahang, dengan penyertaan 75 vendor kreatif lokal yang menampilkan produk berkualiti setanding jenama antarabangsa.

Lebih membanggakan, terdapat usahawan mencatat jualan sehingga RM6,000 sehari menjadi bukti produk tempatan mampu menawan hati pembeli dan menguasai pasaran.

Penganjur program, Nadia Mohd. Rustham berkata, pemi­lihan vendor dibuat secara teliti berdasarkan kriteria unik, kua­liti produk dan keaktifan media sosial bagi memastikan harga ditawarkan berpatutan serta mampu menarik semua lapisan masyarakat.

“Alhamdulillah, sambutan memberangsangkan dari pukul 4 petang hingga 1 pagi. Kami gembira melihat orang ramai keluar seawal minggu kedua Ramadan untuk mencari persiapan raya sambil beriftar dan bermoreh di sini,” katanya ketika ditemui semalam.

Nadia berkata, keunikan Pasar Sera Raya kali ini terletak pada suasananya yang santai di Rumah Pahang menjadikan ‘pasar raya’ itu lebih daripada sekadar tempat membeli-belah.

“Pengunjung bukan sahaja datang untuk membeli baju raya, malah ramai yang meluangkan masa bersama keluarga berbuka puasa dan menikmati malam yang meriah,” katanya.

Sementara itu, Yayasan Pahang terus konsisten menyediakan platform membantu peniaga tempatan dan mewujudkan lebih peluang yang melibatkan penglibatan orang ramai secara aktif pada masa akan datang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×