JERANTUT: “Lemang, ketupat dan rendang hanya mampu saya bayangkan sebelum ini, tetapi Aidilfitri kali ini benar-benar membawa sinar baharu buat kami tiga beranak.”
Demikian luahan penuh syukur Mat Noh Mohamed, 57, duda berstatus orang kurang upaya (OKU) yang tinggal bersama dua anak lelakinya di Felda Kota Gelanggi Empat di sini.
Mat Noh yang mengalami kecacatan fizikal selepas kemalangan motosikal sehingga paha kanan pendek, selain menghidap kencing manis dan gangguan saraf, mengakui kehidupannya selama ini begitu terhimpit.
Tanpa pekerjaan tetap, dia hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sedikit hasil sawit untuk membeli barang dapur.
Lebih memilukan, anak bongsunya, Mohd. Adam, 7, menderita masalah usus terkeluar dan bakal menjalani rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh manakala abangnya Mohd. Razak, 11, masih bersekolah rendah.
“Selama ini, hari raya kami sekadar menjamah apa yang ada di rumah. Kuih-muih untuk tetamu jauh sekali. Tetapi kali ini, anak-anak saya dapat baju baharu, kasut, malah rumah pun lebih selesa.
“Saya sangat berterima kasih. Aidilfitri kali ini benar-benar bermakna buat kami,” katanya sebak ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ramadan dan Syawal tahun ini membawa kelegaan buat OKU tersebut apabila Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP), Gabungan Persatuan Wanita (GPW), Wanita UMNO serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar tampil membantu.
Rumah Mat Noh dibersihkan secara gotong-royong, dilengkapi perabot baharu, tilam, almari dan juadah raya.
Pengerusi GPW Felda Kota Gelanggi Empat, Sabariah Muda, 66, berkata, seramai lapan ahli GPW bersama dua pekerja turun padang membersihkan rumah dan menyediakan kelengkapan raya buat Mat Noh sekeluarga.
“Kami mahu anak-anak Mat Noh merasai kemeriahan Aidilfitri seperti kanak-kanak lain. Mereka diberikan tiga pasang baju raya, kasut, songkok dan kuih-muih,” ujarnya.
Sumbangan itu adalah hasil usaha Pengerusi MPWP Jerantut yang juga Penyelaras DUN Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd. Azman, yang prihatin terhadap nasib keluarga tersebut selepas kisah mereka tular di media sosial. – UTUSAN











