Pemain tidak mahu tukar jurulatih- Amorim

Pemain tidak mahu tukar jurulatih- Amorim

RUBEN AMORIM-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Kemenangan 2-0 ke atas Sunderland dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin meredakan tekanan terhadap pengurus Manchester United, Ruben Amorim.

Aksi dominan United dalam perlawanan itu membolehkan Amorim menarik nafas lega selepas hanya mencatat sembilan kemenangan dalam 33 perlawanan EPL sejak November lalu.

Pengurus kelahiran Portugal itu menegaskan, aksi cemerlang ketika berdepan Sunderland membuktikan pemain-pemain masih setia menyokongnya untuk membina pasukan.

Gol jaringan Mason Mount dan Benjamin Sesko memastikan tiga mata berharga buat United, sekali gus melonjak mereka ke tangga kelapan liga dengan 10 mata.

“Saya nampak hari ini (kelmarin) pemain-pemain mahu berikan yang terbaik, dan saya tahu mereka tidak mahu tukar jurulatih.

“Tapi seperti yang saya beritahu mereka minggu ini, saya sanggup berjuang habis-habisan dalam setiap peralihan permainan. Pasukan perlu tunjukkan perkara itu dengan tindakan mereka di padang.

“Kadang-kadang kita semua tahu boleh buat lebih baik – saya rasa semangat itu sepanjang minggu, dan hari ini mereka tunjukkan,” kata Amorim selepas perlawanan.

Kemenangan ini menjadi suntikan moral besar buat Amorim, namun beliau berdepan cabaran mengekalkan momentum apabila saingan liga akan berehat selama lebih dua minggu bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.

“Tiada momentum dengan pasukan kami sekarang. Kita tahu apa yang berlaku bila menang satu perlawanan – kekecewaan terbesar saya ialah bila pasukan tak mampu ulang prestasi sama di tempat lawan.

“Jika kita tak boleh bermain dengan baik, kita mesti sekurang-kurangnya halang lawan bermain dengan baik. Itulah ciri sebenar pasukan besar sepanjang musim,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN