Pemain bermain dengan hati dan jiwa- Cklamovski

Pemain bermain dengan hati dan jiwa- Cklamovski

PEMAIN Harimau Malaya merasikan kejayaan ketika menumpaskan Laos 3-0 dalam kelayakan Piala Asia 2027, kelamrin- IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata pemainnya beraksi dengan hati dan jiwa demi menjaga maruah negara ketika membenam Laos 3-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027, kelmarin.

Jurulatih kelahiran Australia itu berkata, kejayaan meraih tiga mata penuh itu hadiah terbaik buat rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong dan berdiri teguh di belakang Harimau Malaya ketika pasukan dilanda musibah.

“Perlawanan ini untuk rakyat Malaysia. Kami mahu beri mereka harapan dan inspirasi agar percaya pasukan ini mampu mencapai sesuatu yang luar biasa.

“Saya amat bangga dengan semua pemain. Mereka bermain dengan hati, dengan jiwa demi maruah negara,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ketika ini, Harimau Malaya dilanda badai selepas tujuh pemain warisan digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana didakwa memalsukan dokumen.

Namun, tanpa tujuh tonggak warisan itu, Harimau Malaya tetap ‘meletup’ untuk mengutip tiga mata penuh menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi, Dion Cools dan Faisal Halim.

Sorakan padu penyokong Malaysia di Vientiane turut menjadi pembakar semangat, malah Cklamovski sempat memuji sokongan mereka yang jelas kedengaran di tengah padang.

“Kehadiran mereka banyak membantu kami. Mereka melihat sendiri bagaimana bersemangatnya pemain beraksi demi negara,” ujarnya.

Mengulas keadaan padang yang tidak sempurna, jurulatih berusia 47 tahun itu mengakui ia masih lebih baik daripada beberapa padang dalam saingan Liga Super.

“Keadaan padang tidak mudah dan anda boleh lihat keadaan padang bagaimana tetapi sebenarnya masih lebih baik daripada beberapa padang dalam saingan Liga Super di Malaysia,” ujarnya.

Cklamovski turut menyampaikan mesej besar buat dunia bola sepak Malaysia apabila mengiktiraf Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sebagai nadi utama di sebalik kebangkitan Harimau Malaya.

“Tanpa Tunku Mahkota Ismail, bola sepak Malaysia sudah lama berakhir. Baginda pemimpin berwawasan dan berani membuat perubahan. Banyak kritikan tidak berasas terhadap baginda, tapi realitinya, Bagindalah sebab bola sepak Malaysia masih bernyawa,” tegasnya.

Terdahulu, tujuh pemain warisan digantung FIFA selama setahun dan dikenakan denda CHF2,000 (RM11,000), melibatkan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN