PETALING JAYA: Kekuatan mentaliti dan persembahan pemain menjadi taruhan PDRM FC dalam mengekang kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.
PDRM FC berada di tahap terbaik susulan kejayaan mereka menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam kempen Piala FA pada 12 September lalu dan menewaskan Kelantan United 3-1 (20 September). Begitu pun, mereka tidak layak ke suku akhir Piala FA selepas tewas agregat 5-1.
Menyedari bakal menentang juara Liga Super 11 kali berturut-turut, jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil mengakui mereka bersikap realistik namun itu bukan bermakna skuad Sang Saka Biru sudah mengaku kalah.
“Kita kena realistik apabila bertemu dengan JDT kerana mereka adalah pasukan terbaik dalam liga di negara ini malah salah satu kelab terbaik di rantau ini.
“Penting untuk ada mentaliti dan persembahan yang bagus daripada pemain dan sebab itu untuk berjumpa JDT, saya selalu ingatkan kepada pemain untuk kekalkan mentaliti yang sama seperti dua aksi sebelum ini.
“Semasa latihan pasukan saya sentiasa menerapkan mentaliti kemenangan dalam kalangan pemain supaya mereka menjalani latihan yang berkualiti dan meneruskannya dalam perlawanan nanti.
“Mungkin dengan melakukannya kami boleh mencatat keputusan positif menentang JDT,” katanya.
PDRM FC kini berada di kedudukan kelapan liga dengan enam mata selepas melakar satu kemenangan dan Eddy turut berkata, mereka tidak akan menyerah kalah selagi wisel penamat tidak dibunyikan. – UTUSAN