LONDON: Hasrat Jose Mourinho untuk melakar kejutan di Stamford Bridge tidak kesampaian apabila Benfica kecundang 0-1 kepada tuan rumah, Chelsea.
Kepulangan semula Mourinho ke Stamford Bridge itu mengimbau kenangan ketika jurulatih kelahiran Portugal itu mengendalikan The Blues.
Gol sendiri Richard Rios meranapkan impian Mourinho untuk meraih kemenangan ke atas kelab yang paling sinonim dengannya sepanjang kariernya.
Mourinho dan bekas pemilik Chelsea, Roman Abramovich mengubah Chelsea menjadi kuasa besar bola sepak selepas pelantikannya pada tahun 2004.
Ketika era kegemilangannya, Mourinho memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tujuh trofi utama sepanjang dua tempoh kendaliannya di sana.
Mourinho memulakan musim ini sebagai pengurus Fenerbahce tetapi dipecat pada Ogos sebelum kembali ke bekas kelabnya, Benfica, bulan ini.- AGENSI