Trak tunda ‘mogok’ tiga hari, tuntut subsidi diesel

Trak tunda ‘mogok’ tiga hari, tuntut subsidi diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkhidmatan trak tunda atau towing dijangka mengalami gangguan selama tiga hari bermula hari ini sehingga Selasa ini susulan pengusaha industri berkenaan dijangka mengadakan mogok.

Tindakan itu bagi mendesak kerajaan menyalurkan subsidi diesel demi kelangsungan operasi mereka.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat insu­rans, Zurich Takaful, kawasan yang dijangka paling terjejas ialah di Lembah Klang selain kemungkinan gangguan turut melibatkan beberapa buah ne­geri lain.

Menurut syarikat itu, waktu operasi trak tunda dalaman akan dilanjutkan bagi membantu pelanggan dan perkhid­matan disediakan secara berjadual bergantung kepada ke­tersediaan.

“Pada masa sama, pelanggan turut dibenarkan mengatur sendiri perkhidmatan trak tunda melalui pihak ketiga susulan gangguan operasi dengan tuntutan semula boleh dibuat tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (Perwatam), Datuk Khairi Anuar Ahmad menggesa kerajaan segera menambah baik mekanisme subsidi diesel bagi memastikan operasi industri trak tunda tidak terjejas.

“Sokongan dasar yang le­bih realistik amat diperlukan bagi memastikan industri ber­kenaan terus beroperasi de­ngan lancar. Perwatam mene­gaskan tindakan segera tanpa kompromi perlu dilaksanakan oleh semua pihak.

“Sebarang kelewatan lanjut adalah tidak boleh diterima kerana hanya akan memburukkan keadaan serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perlindungan insurans dan takaful di Malaysia,” katanya.

Khairi Anuar berkata, pi­haknya juga mendesak semua syarikat insurans dan takaful am supaya segera menyemak serta melaraskan kadar bayaran kepada operator bantuan tunda.

“Kadar sedia ada didakwa tidak mencerminkan kos ope­rasi sebenar sekali gus menjejaskan keupayaan operator untuk berfungsi dengan berkesan.

“Ia juga boleh menyebabkan kelewatan bantuan, gangguan perkhidmatan dan peningkatan risiko keselamatan kepada pelanggan di lapangan,” kata­nya.

Khamis lalu, akhbar ini me­laporkan pengusaha trak tunda kenderaan terpaksa ‘memulaukan’ tawaran perkhidmatan daripada syarikat insurans berikutan kadar caj yang tidak sepadan dengan kos bahan api yang perlu ditanggung mereka.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN