Kemasukan semula ahli kembalikan keyakinan UMNO

Kemasukan semula ahli kembalikan keyakinan UMNO

WAN Rosdy Wan Ismail beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur semalam.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan, rayuan seterusnya kemasukan semula bekas pemimpin dan ahli UMNO merupakan petunjuk positif dalam usaha memgembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah permohonan yang diterima ketika ini adalah memberangsangkan apabila semakin ramai bekas ahli termasuk di Pahang menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu.

“Banyak juga permohonan diterima. Tetapi angka tepat belum ada, dari Pahang pun ada.  Apa yang penting, semakin ramai mahu kembali, ia satu indikator positif,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini semalam.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, semua permohonan dan rayuan bekas pemimpin serta ahli UMNO itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 17 April depan.

“Semua permohonan itu akan dibentang dan dibincangkan pada mesyuarat MKT UMNO pada 17 April depan. Saya kira parti akan meluluskannya kerana inisiatif ini bagi menyahut seruan Rumah Bangsa yang ditubuhkan pada Perhimpunan Agung UMNO, Januari lalu.

“Paling penting, keterbukaan UMNO menerima semula bekas pemimpin yang dipecat dan digantung keahlian membuktikan kita serius mahu menyatukan semula mereka dalam parti, selain Kolaborasi Agung iaitu satu inisiatif untuk menyatukan semua parti teras Melayu dan Islam termasuk dari blok pembangkang.

“Perkembangan yang berlaku sekarang amat memberangsangkan malah kita bangga kerana mereka yang berada di luar UMNO akhirnya mahu kembali untuk bersama-sama menguatkan perjuangan parti,” katanya lagi.

Sementara itu katanya, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang akan menerima peruntukan RM15,000 setiap minggu untuk diagihkan kepada golongan memerlukan susulan krisis bekalan tenaga dan bahan api ekoran konflik di Asia Barat.

Inisiatif itu dilaksanakan kerajaan negeri bagi membolehkan wakil rakyat menyalurkan bantuan barangan keperluan asas kepada seramai 300 rakyat di kawasan masing-masing sekali gus meringankan beban kos sara hidup yang dijangka meningkat.

Kata Wan Rosdy, peruntukan mingguan tersebut digunakan untuk pembelian barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung bagi diagihkan kepada golongan paling terkesan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN