ALMATY: Hatrik Kylian Mbappe berjaya membantu Real Madrid membenam wakil Kazakhstan, Kairat 5-0 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Mbappe menjadi mimpi ngeri tuan rumah dengan hatrik, manakala Eduardo Camavinga dan Brahim Diaz melengkapkan kemenangan Real yang membawa mereka ke kedudukan teratas carta buat sementara.
Kairat, yang membuat penampilan pertama dalam saingan utama kejohanan ini selepas menewaskan Celtic dalam pusingan kelayakan tidak mampu menyaingi kehebatan Los Blancos terutamanya bintang Perancis, Mbappe.
Kapten Perancis itu kini sudah mengumpul 13 gol dalam sembilan perlawanan musim ini dalam semua kejohanan, namun tetap kelihatan kecewa apabila terlepas satu peluang terbaik pada separuh masa kedua.
Tuan rumah, Kairat menurunkan penjaga gol berusia 18 tahun, Sherkhan Kalmurza susulan kecederaan tiga penjaga gol utama mereka.
Namun, Kalmurza mudah memberikan gol pembukaan Madrid apabila dia menjatuhkan Franco Mastantuono dan Mbappe menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-25.
Tujuh minit selepas separuh masa kedua bermula, Mbappe menjaringkan gol kedua hasil hantaran jauh penjaga gol, Thibaut Courtois.
Kairat menyangka mereka mendapat penalti apabila Dani Ceballos didakwa menjatuhkan Valery Gromyko, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Mbappe akhirnya melengkapkan hatrik apabila Arda Guler membuat lorongan bijak di luar kotak penalti dan Mbappe melepaskan rembatan tajam untuk gol ketiga peribadinya.
Camavinga yang masuk sebagai pemain gantian, menanduk masuk gol keempat pada minit ke-83 manakala Diaz menutup malam gemilang Real dengan jaringan kelima pada masa kecederaan.-AGENSI