Malucelli kekal unggul di Kemaman

Malucelli kekal unggul di Kemaman

PELUMBA XDS Astana, Matteo Malucelli (dua dari kiri) berjaya menjuarai peringkat keempat LTdL 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pelumba Itali, Matteo Malucelli daripada pasukan XDS Astana  muncul juara peringkat keempat  Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman selepas menamatkan saingan sejauh 141.5 kilometer dengan catatan masa 3 jam 17 minit 56 saat sebentar tadi.

Malucelli menewaskan pencabar terdekatnya, Manuel Peñalver Aniorte (Team Polti Vistimalta) dan Erlend Blikra (Uno-X Mobility) yang masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga dalam pecutan beramai-ramai menuju garisan penamat.

Kemenangan itu turut mengekalkan kedudukan Malucelli di tangga teratas Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan masa terkumpul 13 jam 15 minit 45 saat selepas empat peringkat perlumbaan.

Pelumba Malaysia Pro Cycling(MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil terus mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Pelumba Asia dan ASEAN Terbaik Peringkat 4, mengatasi rakan sepasukan Mohd Shazrin Awang Ilah dan Mohd. Harrif Saleh(Terengganu Cycling Team).

Dalam saingan jersi lain, Malucelli turut mendahului Jersi Oren (Pelumba Pecut Terbaik) dengan 51 mata, manakala pendakian berbukit menyaksikan pelumba pasukan Picnic-PostNL, Patrick Eddy mendahului kutipan mata dalam perebutan Raja Bukit( Jersi Polka Dot) dengan 15 mata.

Pelumba dari Kazakhstan, Vadim Pronskiy (Terengganu Cycling Team) pula mengekalkan penguasaan sebagai pemegang Jersi Putih Rakan Muda selaku pelumba Asia terbaik keseluruhan.

Perlumbaan akan bersambung esok menerusi Peringkat 5 dari Temerloh ke Bukit Fraser, yang  menyaksikan saingan sejauh 123.1 km Peringkat ini bermula dengan laluan beralun untuk perebutan mata pecut. 

Pertarungan sebenar akan berlaku di pendakian terakhir menuju ke puncak Bukit Fraser, di mana pemenang peringkat dan kemungkinan besar pemegang jersi hijau akan ditentukan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN