LONDON: Liverpool terpaksa melupakan khidmat Alexander Isak ketika berdepan Brentford esok selepas penyerang Sweden itu mengalami kecederaan pangkal paha.
Isak mengalami kecederaan itu ketika membantu Liverpool meraih kemenangan besar menewaskan Eintracht Frankfurt 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara pada Rabu lalu.
Pengendali Liverpool, Arne Slot berkata, kecederaan itu tidak diperoleh daripada rehat antarabangsa ketika Sweden beraksi menentang Kosovo dan Switzerland dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 awal bulan ini.
“Dia tidak pulang (dari rehat antarabangsa) dengan kecederaan. Saya katakan bahawa dia terlepas sesi pramusim dan tidak berlatih bersama pasukan untuk tempoh yang lama.
“Dia tiba pada 1 September, jadi kami perlu membawanya bermain sekali seminggu terlebih dahulu dan kini kami cuba membawanya bermain dua kali seminggu, seperti yang dia lakukan bersama pasukan kebangsaan.
“Tetapi dia berada dalam keadaan cergas sepenuhnya apabila pulang daripada tugasan antarabangsa dan juga sebelum perlawanan menentang Manchester United,” katanya.
Jurulatih dari Belanda itu turut berkata, Isak kini masih berada dalam proses untuk mencapai tahap kecergasan penuh selepas lama tidak berlatih bersama pasukan.
“Apabila dia tiba, dia hampir tidak berlatih, jadi kami bawa dia maju sedikit demi sedikit. Kami tahu akan tiba satu masa di mana dia boleh bermain dua kali seminggu, dia juga melakukannya bersama pasukan Sweden,” katanya.
Slot turut mengakui bahawa dia sedar terdapat desakan daripada penyokong untuk melihat Isak beraksi lebih kerap namun menegaskan pentingnya mencari keseimbangan antara keperluan pasukan dan tahap kesediaan fizikal pemain.
“Ramai orang memberitahu saya supaya memberinya lebih banyak peluang bermain dan kami perlu mencari keseimbangan tetapi malangnya keseimbangan itu tidak menjadi dengan baik untuk kami hari ini,” katanya. – AGENSI










