WUHAN: Pemain No.1 Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff mendedahkan dia hampir menarik diri daripada jelajah Asia selepas jurulatihnya, Jean Christophe Faurel menasihati agar berehat susulan prestasi hambar di Terbuka AS.
Namun, Gauff yang terkenal dengan sifat keras kepala membuktikan keputusan beraninya tepat apabila menjuarai Terbuka Wuhan selepas menewaskan rakan senegara, Jessica Pegula 6-4, 7-5 dalam final penuh emosi.
“Ianya jelajah Asia yang hebat, tapi saya mahu panggil JC (Faurel) kerana dia sebenarnya tidak mahu saya datang ke sini selepas Terbuka AS yang sukar.
“Saya perlu buktikan dia silap. Saya memang seorang yang degil, mungkin dia cakap begitu pun sebab nak saya marah dan dapat keputusan baik di sini,” kata Gauff
Kejayaan di Wuhan menjadi penebus kecewa selepas tersingkir di pusingan keempat Terbuka AS, malah ia memperkukuh semangat juara Grand Slam dua kali itu menjelang penutup musim 2025.
Gauff turut menzahirkan penghargaan kepada Pegula yang disifatkannya sebagai antara pemain pertama menyambut kehadirannya dengan mesra ketika mula menyertai Jelajah WTA.
“Jess (Pegula) memang luar biasa, dia ratu tiga set dan saya tahu kalau ke set ketiga peluang saya makin kecil, sebab itu saya tak mahu lepaskan.
“Apabila saya mula berada di Jelajah WTA, dia antara yang pertama menyambut saya dengan tangan terbuka dan ia masih bermakna hingga hari ini, jadi terima kasih dan satu penghormatan dapat lawan kamu di final,” katanya. – AGENSI