SEPANG: Pelumba Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia menempah petak pertama dalam sesi kelayakan bagi kelas utama, MotoGP pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dekat sini, esok.
Bagnaia yang kini berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan kutipan 274 mata mencipta masa sepusingan terpantas 1 minit 57.001 saat (s).
Alex Marquez yang bernaung di bawah pasukan BK8 Gresini Racing MotoGP pula berada di kedudukan kedua dengan catatan masa sepusingan 1:57.017s.
Pelumba Sepanyol itu kini dalam persaingan bagi mengekalkan kedudukannya di tangga kedua keseluruhan selepas mengumpul 379 mata.
Jika dia berjaya berbuat demikian, maka, adik beradik Marquez akan mendominasi kedudukan satu dan dua pada Kejuaraan Dunia, musim ini, selepas abangnya, Marc Marquez lebih awal dinobatkan selaku juara dunia pada GP Jepun, bulan lalu.
Sementara itu, petak ketiga menjadi milik pelumba Pertamina Enduro VR46 Racing Team, Franco Morbidelli yang melakar masa sepusingan 1:57.159s.
Pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP Team, Fabio Quartararo menempak petak keempat (1:57.195s), manakala, Pedro Acosta yang mewakili pasukan Red Bull KTM Factory Team di tangga kelima (1:57.363s). – UTUSAN









