Lebih 620,000 penempatan pekerjaan melalui MYFutureJobs

Lebih 620,000 penempatan pekerjaan melalui MYFutureJobs

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 622,283 penempatan pekerjaan berjaya direkodkan sejak 2023 hingga 19 Disember 2025 melalui inisiatif MYFutureJobs di sebalik ketahanan ekonomi Malaysia menghadapi ketidaktentuan global.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pencapaian itu selari dengan penilaian positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi dan daya tahan ekonomi Malaysia.

Katanya, pengiktirafan IMF turut mencerminkan kekuatan asas domestik negara serta dasar fiskal dan ekonomi berhemah yang dilaksanakan Kerajaan Madani.

“Pengiktirafan IMF membuktikan keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya tahan walaupun berdepan cabaran perdagangan global dan ketidaktentuan dasar antarabangsa termasuk kesan tarif tinggi dikenakan Amerika Syarikat (AS).

“Perkembangan positif ini didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan serta pertumbuhan guna tenaga yang sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ramanan, ketahanan ekonomi perlu diterjemahkan kepada hasil bermakna kepada rakyat khususnya melalui penyediaan peluang pekerjaan berkualiti, gaji yang adil dan pengukuhan tenaga kerja nasional.

“Pertumbuhan ekonomi mesti seiring dengan penciptaan pekerjaan berkualiti. Fokus kami adalah memastikan pertumbuhan inklusif serta melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran relevan bagi menghadapi pasaran buruh yang semakin dinamik,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan terus memperkukuh inisiatif MYFutureJobs dengan memanfaatkan teknologi digital, memperkukuh kerjasama strategik bersama majikan serta menghasilkan pemprofilan pekerja yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

“Selain itu, Kesuma turut memperkukuh pasaran buruh negara melalui inisiatif strategik dan bersepadu bersama Perkeso, HRDCorp, Jabatan Tenaga Manusia dan TalentCorp.

“Pendekatan ini merangkumi pemadanan kerja aktif, pembangunan kemahiran, perlindungan keselamatan sosial, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif serta penawaran gaji yang lebih kompetitif.

“Ia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan secara langsung kepada peluang pekerjaan berkualiti, pendapatan mampan dan tenaga kerja berdaya saing,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN