SEREMBAN: Polis kini memburu seorang lelaki yang diklasifikasikan sebagai berbahaya dan paling dikehendaki susulan kejadian letupan di Pangsapuri Desa Palma, Nilai di sini pada 22 Disember lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek dikenali sebagai Yeoh Hock Sun, 62, yang berasal dari Kelantan dipercayai bertindak secara bersendirian serta diklasifikasikan sebagai individu berbahaya dan paling dikehendaki (highly wanted).
Katanya, kejadian awal dipercayai berlaku melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Wira sebelum siasatan lanjut membawa pihak polis ke sebuah rumah kedai di berhampiran lokasi kejadian.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan di rumah tersebut, pihak kami telah menemui beberapa lagi alat letupan buatan sendiri (IED).
“Jumlah semua yang kami temui di tempat kejadian dan di kawasan serbuan tersebut adalah 31 IED dan telah dimusnahkan Unit Pemusnah Bom PDRM,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Kata beliau, suspek turut mempunyai rekod kesalahan ugutan jenayah sebelum ini
“Siasatan mendapati bahan letupan tersebut disediakan menggunakan sistem pemasa dan sensor selain mengandungi bahan mudah diperoleh seperti isoprophyl alkohol, sulfur, karbon hitam serta serpihan berbahaya termasuk paku, bebola besi dan bila pisau.
“Penilaian kami mendapati suspek mempunyai pengetahuan tinggi dalam penyediaan bahan letupan. Radius letupan dianggarkan sehingga 20 meter manakala serpihan boleh terpelanting sejauh 30 meter,” katanya.
Menurutnya, suspek dipercayai mengalami kecederaan akibat letupan awal dan kini bersembunyi, namun semakan di hospital, klinik dan farmasi setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk.
“Suspek juga dikesan menggunakan pelbagai penyamaran termasuk topi, pelitup muka dan rambut palsu bagi mengelakkan dikesan, selain menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran milik orang lain
“Siasatan mendapati suspek mempunyai latar belakang pengetahuan dalam bidang kimia dan teknologi maklumat serta pernah bekerja dalam industri farmaseutikal,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan satu kejadian letupan di tempat parkir telah mengejutkan penduduk di Pangsapuri Desa Palma, Nilai di sini. – UTUSAN










