LONDON: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim bakal menghadapi tekanan hebat pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu ini apabila berkunjung ke Anfield menentang Liverpool, esok.
Sokongan daripada pemilik bersama kelab, Sir Jim Ratcliffe memberikan Amorim sedikit ruang bernafas, dengan jaminan bahawa dia akan diberikan tiga tahun penuh kontrak untuk memulihkan prestasi pasukan walaupun prestasi semasa tidak menunjukkan kemajuan besar.
Jika United menewaskan juara bertahan yang turut bergelut dengan prestasi, mereka akan mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam EPL dan ia sesuatu yang belum dicapai sejak Amorim mengambil alih hampir setahun lalu.
Namun, jika tewas di Anfield, keyakinan Ratcliffe terhadap pengendali dari Portugal itu pasti akan dinilai semula berikutan tekanan hebat daripada penyokong United.
Amorim, yang menggantikan Erik ten Hag selepas dipecat, hanya merekodkan 10 kemenangan dalam 34 perlawanan liga setakat ini.
Ratcliffe sebelum ini membandingkan permulaan Amorim dengan Mikel Arteta di Arsenal, yang juga bermula perlahan sebelum menjadikan kelab London itu pencabar kejuaraan namun perbandingan itu dipersoalkan ramai pihak, termasuk bekas pertahanan United, Rio Ferdinand.
“Saya faham maksudnya, tetapi kalau kita lihat fakta, itu bukan perbandingan yang tepat. Amorim masih belum menunjukkan konsistensi yang diperlukan,” kata Ferdinand.
Musim lalu, United seri 2-2 di Anfield menjadikan ia antara keputusan positif dalam kempen yang hambar.
Walaupun Amorim mendapat sokongan pada jendela perpindahan lalu, mereka kini di tangga ke-10 liga, dan masih gagal mengekalkan momentum.
Pemain baharu seperti Bryan Mbeumo dan Benjamin Sesko mula menunjukkan peningkatan dan menjaringkan gol tetapi Matheus Cunha yang dibawa masuk dari Wolverhampton masih belum menjaringkan sebarang gol dalam liga.
“Saya sedang cuba menyesuaikan diri dan belajar secepat mungkin. Walaupun baru dua bulan, tekanan di kelab ini membuatkan saya rasa seperti sudah lama di sini,” kata Cunha.
Sementara itu, Liverpool turut berdepan situasi sama membabitkan pemain baharu mereka, Florian Wirtz, yang dibeli dari Bayer Leverkusen dengan nilai 100 juta pound (RM565 juta).
Pemain berusia 22 tahun itu masih belum menjaringkan atau membantu sebarang gol dan diketepikan ketika The Reds tewas di tangan Chelsea baru-baru ini.
Prestasi Wirtz menjadi kebimbangan buat pengendali Arne Slot, yang kini mengharungi tiga kekalahan berturut-turut (dua di liga, satu di Liga Juara-Juara Eropah) menjadikan ia siri keputusan terburuk sejak dia mengambil alih pasukan di Anfield.
Liverpool kini ketinggalan satu mata di belakang Arsenal, yang akan beraksi lebih awal menentang Fulham hari ini, dengan peluang melebarkan jurang kepada empat mata.
Dalam pada itu, Bournemouth berpeluang mendahului liga untuk seketika jika menewaskan Crystal Palace manakala Manchester City (tangga kelima) akan menentang Everton, dan Tottenham Hotspur (tangga ketiga) berdepan Aston Villa.
Nottingham Forest, di bawah Ange Postecoglou, pula masih mencari kemenangan pertama selepas tujuh perlawanan dan kekalahan di tangan Chelsea mungkin menamatkan khidmatnya di City Ground. – AGENSI/UTUSAN










