PETALING JAYA: Jaguh 400 meter (m) negara, Umar Osman memasang impian untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara itu di Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo, Jepun yang bermula esok.
Umar menjadi wakil tunggal Malaysia ke kejohanan berprestij itu berkata, pemilihannya satu tanggungjawab besar dan berazam untuk memberikan aksi terbaik di pentas dunia.
“Impian saya nak pecahkan rekod kebangsaan lagi, sebab peluang seperti ini tak datang selalu jadi, saya kena manfaatkan peluang yang ada ini untuk pecahkan rekod kebangsaan.
“Sebelum ini saya ada cuba melakukannya di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) dan Sukan Universiti Dunia (WUG) tapi gagal. Jadi saya nak manfaatkan peluang ini dan cuba berlari di bawah 46 saat (s),” katanya.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 itu melakukan catatan terbaiknya pada musim ini 46.25s ketika beraksi di ATF, Gumi, Korea Selatan, Mei lalu.
Umar turut menamatkan kempen WUG dekat Jerman pada Julai lalu di peringkat separuh akhir selepas menduduki tempat keenam dengan catatan masa 47.10s.
Atlet berusia 22 tahun itu berpeluang beraksi di kejohanan dunia selepas Olahraga Malaysia (MA) memberikan slot wildcard kepadanya berikutan ketiadaan wakil negara yang layak secara merit.
Rekod kebangsaan 400m dipegang oleh Umar selepas melakukan catatan 46.09s dalam saringan separuh akhir ketiga di WUG dekat Chengdu, China pada 2 Ogos 2023.-UTUSAN