KUALA NERUS: Semangat juang tinggi pemain menjadi kunci kejayaan Terengganu FC (TFC) ketika membelasah Melaka FC 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), kelmarin.
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga, malah melonjakkan skuad Penyu ke tangga kedua liga selepas mengumpul 10 mata, mengekori rapat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengutip 15 mata.
Ketua jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali memuji komitmen anak buahnya yang memperbaiki corak permainan selepas agak perlahan di awal babak sebelum melancarkan asakan bertali arus hingga menghasilkan empat jaringan pada separuh masa pertama.
“Tahniah kepada semua pemain, kredit harus diberikan kepada semua yang beraksi penuh disiplin dan komitmen. Faktor kemenangan malam ini ialah semangat juang. Pemain tidak berpuas hati dengan keputusan sedia ada, malah terus cuba mencari jaringan tambahan hingga wisel penamat,” katanya selepas perlawanan.
Badrul Afzan turut memuji sumbangan penyerang import, Yann Mabella yang kembali cemerlang selepas pulih daripada kecederaan dengan meledak dua gol.
“Sudah tentu Yann menunjukkan prestasi positif selepas berehat minggu lalu. Saya harap momentum ini berterusan menjelang perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Cheras nanti,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali Melaka FC, K. Devan mengakui kelemahan benteng pertahanan selain prestasi hambar pemain import antara punca kekalahan pasukannya.
Katanya, sepakan penalti TFC pada hujung babak pertama yang juga gol ketiga tuan rumah meranapkan semangat anak buahnya untuk bangkit.
“Jelas jurang kualiti import antara kedua-dua pasukan. Dengan bajet yang kita ada, memang sukar menyaingi import TFC.
“Kita juga terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Che Rashid Che Halim dilayangkan kad merah. Apa pun, kita ambil kekalahan ini sebagai pengajaran untuk perbaiki permainan,” katanya.
Aksi Liga Super seterusnya, TFC menentang KL City FC pada Sabtu depan manakala Melaka FC pula melayani kunjungan Brunei DPMM FC pada 30 September ini.-UTUSAN