PETALING JAYA: Biarpun hadir dengan status juara bertahan dan naib juara dunia, Pearly Tan-M. Thinaah tidak berselindung bahawa rentak permainan mereka masih belum di tahap sebenar di Terbuka Hong Kong.
Beregu No.2 dunia itu mara ke suku akhir selepas menundukkan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dengan keputusan 21-18, 21-17 di Koliseum Hong Kong, semalam.
Meskipun menang, Pearly mengakui rentak permainan mereka masih belum meyakinkan biarpun baru sahaja melakar sejarah muncul naib juara dunia pada minggu lalu.
Menurutnya, corak gerakan mereka agak perlahan dan kelemahan itu wajib diperbaiki segera jika mahu mengulangi kejayaan tahun lalu.
“Ya, saya rasa tidak begitu berpuas hati kerana saya rasa pergerakan kami agak perlahan, terutamanya saya di pihak saya, jadi saya berharap dapat mengatasi situasi ini untuk perlawanan esok,” kata Pearly.
Dalam masa sama, Thinaah menegaskan fokus utama mereka kini adalah mendapatkan pemulihan sempurna agar dapat tampil lebih mantap pada aksi suku akhir.
“Ya, saya rasa seperti apa yang Pearly katakan, pergerakan saya juga agak perlahan untuk melindungi satu sama lain dan sebagainya, jadi kami perlu fokus pada pemulihan yang baik dan bersedia dengan sempurna esok (hari ini),” kata Thinaah.
Beregu negara itu akan menentang rakan senegara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing pada aksi suku akhir harini selepas menyingkirkan gandingan Taiwan, Su Yan Ching-Sung Yu Hsun 21-19, 21-18, semalam.
Dalam saingan beregu lelaki pula, Arif Junaidi-Yap Roy King meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas menumbangkan rakan senegara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri 21-17, 21-19.
Namun, nasib berbeza buat Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila mereka terpaksa akur kepada beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 17-21, 21-11, 15-21.- UTUSAN