Kuching City tumpaskan Selangor FC 1-0

Kuching City tumpaskan Selangor FC 1-0

AKSI Kuching City menentang Selangor FC di Stadium Negeri di Kuching, hari ini.- IHSAN SELANGOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuching City membuktikan mereka antara pasukan pilihan dalam saingan Liga Super musim ini apabila menumpaskan Selangor FC 1-0 di Stadium Negeri di Kuching, Sarawak, sebentar tadi.

Perlawanan berlangsung sengit dengan tuan rumah dan pelawat saling melakukan asakan untuk mencari kelebihan awal, namun pertahanan kemas menggagalkan hasrat kedua-dua pasukan.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak berdepan detik emas pada minit ke-38 apabila pemain tengah, Danial Amier Norhisham dilayangkan kad merah kerana mengasari Alvin Fortes.

Bagaimanapun Kuching City menarik nafas lega apabila kad merah itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) dengan Danial Amier hanya dilayangkan kad kuning.

Separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan dan bersambung babak kedua, The Cats menukar taktikal untuk memburu gol kemenangan.

Peluang Kuching City untuk memecah kebuntuan hadir pada minit ke-61, namun percubaan Ramadhan Saifullah Usman diselamatkan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Namun, Ramadhan menebus kekecewaan itu tujuh minit kemudian apabila sepakan percumanya berjaya menewaskan Kalamullah, sekali gus menggamatkan Stadium Negeri yang dipenuhi 5,654 penyokong.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Katsuhito Kinoshi cuba bangkit, namun Kuching city mempamerkan disiplin tinggu untuk mengekang asakan pelawat.

Gol tunggal jaringan Ramadhan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk Kuching City meraih tiga mata penuh di laman sendiri.

Kemenangan itu juga membolehkan Kuching City merampas kedudukan keempat liga dari Selangor dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN