PETALING JAYA: Pengendali Kelantan The Real Warriors (TRW), E. Elavarasan mengakui pasukannya perlu meningkatkan prestasi jika mahu menjadi pesaing utama Liga Super musim ini.
Kelantan TRW menonjolkan kelemahan ketara ketika tumpas 1-3 kepada PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin, sekali gus terpaksa pulang tangan kosong ke Kota Bharu.
Elavarasan mengakui skuad bimbingannya masih baharu dan sedang mencari rentak konsisten selepas menggabungkan ramai muka baharu musim ini.
“Bola sepak ada masanya kalah, dan dari situ kita perlu tingkatkan prestasi. Kekalahan ini membolehkan jurulatih membuat bedah siasat yang lebih terperinci kerana kita masih baru dalam liga.
“Ini bukan alasan, tetapi pengalaman sebegini penting untuk pemain supaya mereka tampil dengan persembahan lebih baik pada perlawanan akan datang,” kata Elavarasan.
Elavarasan berkata, pasukannya bermula dengan baik tetapi dua jaringan awal yang diraih PDRM memberi kelebihan besar kepada tuan rumah untuk mengawal permainan.
“Bila kita bermula dengan baik, secara tidak langsung pemain lagi bersemangat nak menyerang tapi bila lawan dapat dua jaringan, itu memberi motivasi kepada PDRM untuk bermain lebih yakin,” katanya.
Dalam aksi itu, Henri Dumbia menjadi watak utama kepada PDRM FC apabila meledak dua gol diikuti jaringan Imran Samso manakala bekas pemenang kasut emas, Ifedayo Olusegun menyumbangkan gol tunggal KTRW FC.
Skuad TRW kini menumpukan perhatian terhadap aksi seterusnya menentang Brunei DPMM FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 26 September ini.-UTUSAN