KUALA LUMPUR: Polis telah melengkapkan kertas siasatan terhadap wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ kerana didakwa memperlekehkan anggota polis yang sedang bertugas di Jalan Ipoh di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, kertas siasatan berkaitan kes itu akan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.
“Kami telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat TPR bagi cadangan pertuduhan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Selamat Dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur di Masjid Al-Sultan Abdullah di sini hari ini.
Media kelmarin melaporkan wanita berkenaan telah menuduh anggota yang bertugas tidak mengetahui undang-undang serta memperlekeh tindakan pihak polis selain mendakwa anggota terbabit mengugut warga asing dalam kejadian pada pukul 9.30 malam.
Anggota polis berkenaan telah membuat laporan polis selepas kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghina.
Terdahulu, tular video yang dimuat naik wanita itu di laman sosial mendakwa anggota polis berkenaan mengugut seorang warga Pakistan yang menunggang motosikal.
Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berhubung beberapa kes antaranya menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.– UTUSAN










