JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memuji aksi pemain yang mempamer aksi lima bintang ketika berpesta gol membelasah Sabah FC 8-0 dalam perlawanan Liga Super, kelmarin
Munoz berkata, pemain berjaya bangkit daripada kekalahan pada aksi pembukaan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), minggu lalu dengan mempersembah permainan berkualiti sepanjang 90 minit.
Katanya, setiap pemain yang diturunkan menggalas tanggungjawab sebaik mungkin dengan mengetengahkan rentak permainan yang berintensiti tinggi dan berdisiplin ketika mendominasi perlawanan tersebut.
“Kita akui kekalahan kepada Buriram United (ACLE) baru-baru ini menjejas konsentrasi pemain namun mereka berjaya bangkit dengan memberi yang terbaik dan meningkatkan kualiti permainan seperti yang dituntut.
“Ini adalah bagaimana kita harus beraksi, ia menuntut konsistensi dalam mengekalkan gaya permainan yang agresif bagi memastikan pasukan menguasai permainan dan menemui sentuhan penyudah yang tajam.
“Setiap pemain faham akan tugas masing-masing dalam mendukung falsafah permainan JDT, ia seharusnya diterjemahkan dengan baik dan menghasilkan keputusan yang positif,” katanya.
Pada perlawanan itu, Joao Figueiredo dan Bergson Da Silva masing-masing menjaringkan hatrik manakala Raul Parra dan Oscar Arribas masing-masing menjaringkan satu gol.
Ditanya mengenai keputusannya menurunkan Bergson dan merehatkan Jairo Da Silva, Munoz berkata, JDT mempunyai pasukan yang besar dan setiap pemain mempunyai kualiti tersendiri dan bersedia diturunkan pada bila-bila masa.
Pengendali berusia 45 tahun itu turut memuji Bergson yang melakar sejarah apabila muncul penjaring terbanyak liga sepanjang zaman dengan rekod 109 jaringan mengatasi pencapaian Indra Putra Mahayuddin (106 gol).
“Jika Bergson mengekalkan momentum, mungkin dia mampu jaring 100 gol lagi. Kami berbangga memiliki pemain sepertinya, bukan mudah untuk mencapai tahap sebegitu yang memerlukan disiplin dan konsistensi setiap musim,” katanya.
Mengulas mengenai persembahan Ager Aketxe, Munoz menyifatkan pemain import dari Sepanyol berjaya mengemudi bahagian tengah dengan cemerlang dan kerap kali menggerakkan serangan dari pelbagai sudut.
“Ager (Aketxe) bijak mengawal permainan malah dia tahu bila untuk menyerang selain pantas melakukan transisi bagi membataskan pergerakan lawan mengatur serangan,” katanya.-UTUSAN