CARACAS: Amerika Syarikat (AS) menggesa warganegaranya supaya meninggalkan Venezuela dengan segera berikutan laporan kumpulan bersenjata sedang berusaha mengesan warga AS, seminggu selepas penahanan Presiden negara Amerika Selatan itu, Nicolás Maduro.
Dalam amaran keselamatan yang dikeluarkan pada Sabtu, Jabatan Negara AS berkata, terdapat laporan anggota militan pro-rejim, dikenali sebagai colectivos, menubuhkan sekatan jalan dan memeriksa kenderaan untuk mencari bukti penumpang adalah warganegara AS atau penyokong negara tersebut.
“Warganegara AS di Venezuela digalakkan supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika bergerak di jalan raya,” tambah amaran itu, sambil menekankan supaya mereka pulang segera, memandangkan beberapa penerbangan antarabangsa dari Venezuela kini disambung semula.
Bercakap kepada New York Times minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau bercadang melawat Venezuela selepas mendakwa AS akan mengurus negara Amerika Selatan itu melalui operasi malam yang membawa kepada penahanan pemimpin negara tersebut di Caracas.
Namun, amaran Jabatan Negara AS itu menekankan situasi di Venezuela masih sangat tidak stabil selepas serangan pasukan khas hujung minggu lalu, yang mengakibatkan ramai terbunuh.
Walaupun ramai penentang Maduro di Venezuela meraikan penahanannya oleh AS, penyokong kerajaan turun ke jalan raya menentang tindakan itu, menyifatkannya sebagai tindakan agresif imperialisme.
Menjawab amaran keselamatan AS, Kementerian Luar Venezuela menyifatkan kenyataan Jabatan Negara dibuat berdasarkan laporan palsu yang bertujuan mencipta persepsi risiko yang tidak wujud.
“Venezuela berada dalam keadaan aman, damai dan stabil. Semua pusat penduduk, laluan komunikasi, sekatan jalan, dan peranti keselamatan berfungsi seperti biasa dan semua senjata Republik berada di bawah kawalan Kerajaan Bolivar, satu-satunya penjamin monopoli sah kuasa dan ketenteraman rakyat Venezuela,” kata kementerian itu.
Wartawan dan aktivis di Caracas melaporkan melihat anggota colectivos bersenjata menunggang motosikal di sekitar ibu negara dan menubuhkan sekatan jalan. Jalan raya yang menghubungkan Caracas ke sempadan barat diawasi dengan beberapa sekatan tentera dan polis.
Pegawai Jabatan Negara AS membuat lawatan ke Caracas pada Jumaat sebagai sebahagian daripada persiapan dipercayai untuk membuka semula kedutaan AS di negara itu.
Pengganti Maduro, Presiden Interim, Delcy Rodríguez menyeru supaya hubungan dengan Washington diperbaiki walaupun sekutunya ditahan.
Dalam perkembangan berasingan, Maduro mendakwa beliau dalam keadaan baik di penjara AS sementara menunggu perbicaraan bersama isterinya, Cilia Flores, menurut anak lelaki beliau.
“Kami dalam keadaan baik. Kami pejuang,” kata anak lelaki Maduro dan ahli Parlimen, Nicolas Maduro Guerra,, memetik ayahnya dalam video yang dikeluarkan oleh parti pemerintah PSUV.-AGENSI










