KUANTAN: Skuad futsal kebangsaaan tidak boleh memandang mudah cabaran Bangladesh dalam aksi kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 di Stadium Tertutup Sukpa, hari ini.
Atas kertas, skuad kendalian Rakhpol Sainetngram memiliki kelebihan untuk menewaskan Bangladesh, namun pemain diingatkan agar tetap waspada dengan taktaikal pihak lawan.
Untuk aksi menentang Bangladesh, Rakhpol menuntut anak buahnya mempamerkan semangat juang tinggi untuk menambah tiga mata sebelum menutup kempen kelayakan bertemu gergasi Asia, Iran.
“Kita tidak boleh memandang rendah dengan skuad Bangladesh walaupun mereka dibelasah 12-0 ketika bertemu Iran dalam aksi pembukaan,” kata jurulatih kelahiran Thailand itu.
Dengan jumlah gol dibolos yang tinggi oleh Iran, tidak mustahil untuk skuad negara turut berpeluang berpesta gol ketika berdepan Bangladesh, hari ini.
Anak buah Rakphol seharusnya menjadikan aksi menentang Bangladesh sebagai satu peluang terbaik untuk lebih banyak mencipta jaringan gol selain pertahanan yang ampuh.
Pada pertemuan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), skuad negara hanya mampu menjaringkan satu gol biarpun disajikan dengan deretan peluang.
Penyerang negara, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan, Mohammad Awalluddin Mat Nawi dan Mahadir Harahap Khairuddin diharap mampu mencetak gol sebanyak mungkin.
Rakhphol turut berharap kehadiran penyokong skuad Harimau Malaya ke Stadium Sukpa kerana sokongan mereka mampu menaikkan semangat anak buahnya.
Kemenangan ke atas Bangladesh bakal mencerahkan peluang skuad futsal negara untuk layak ke Piala Asia Futsal 2026 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada Januari tahun hadapan.
Untuk rekod, lapan juara kumpulan serta tujuh naib juara kumpulan terbaik akan menyertai tuan rumah, Indonesia ke pentas Piala Asia Futsal 2026.- UTUSAN