Hakim Danish dapat tiket wild card GP Malaysia

Hakim Danish dapat tiket wild card GP Malaysia

HAKIM Danish meraih tiket wild card untuk beraksi dalam kategori Moto3 di GP Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli sah bakal melakukan kemunculan sulung pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia bagi kelas Moto3 di atas tiket jemputan (wild card) pada 24 hingga 26 Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh SIC di sini, hari ini, anak muda berusia 18 tahun itu bakal melakar sejarah di dalam kariernya apabila diberi kesempatan bersaing bersama pelumba-pelumba Moto3 yang lain di hadapan penyokong tempatan.

Hakim Danish yang bersaing di dalam Piala RedBull MotoGP Rookies telah menamatkan aksinya bagi musim 2025 di tempat ketiga keseluruhan selepas mengumpul 171 mata dan dia merupakan pelumba Malaysia pertama berjaya berbuat demikian.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, Hakim Danish benar-benar telah membuktikan dirinya layak menerima peluang wild card untuk beraksi di dalam kelas Moto3.

“Tiga tahun selepas Syarifuddin Azman (Damok), rakyat Malaysia sekali lagi berpeluang menyaksikan seorang lagi pelumba tempatan bertanding dalam Moto3 bersama SIC.

“Ini bukan sekadar perlumbaan, malah ia lebih daripada itu kerana (Hakim) Danish merupakan lambang kejayaan pelan pembangunan sukan permotoran (MDEV) negara, yang bermula dari peringkat akar umbi sehingga berjaya menjejakkan kaki ke pentas dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Hakim Danish sememangnya tidak diragui antara bakat muda terbaik yang berjaya dilahirkan Malaysia pada ketika ini.

Justeru, Azhan Shafriman menyeru kepada semua peminat sukan permotoran agar hadir ke Sepang dan penuhkan tempat duduk untuk bersama-sama bersorak memberikan sokongan kepada Hakim Danish nanti.

Anak jati Terengganu itu, selain beraksi di dalam Piala RedBull MotoGP Rookies, turut bersaing di dalam Kejohanan Dunia FIM JuniorGP yang masih berbaki dua pusingan di Litar Catalunya, Barcelona dan Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, November ini.

Untuk rekod, Hakim Danish juga merupakan anak Malaysia pertama yang menjuarai Asia Talent Cup bagi musim 2022.

Selain itu, dia turut menerima pendedahan dalam European Talent Cup dan berjaya mencatat keputusan podium pada pertandingan itu, tiga tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN