PETALING JAYA: Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Facundo Garces menegaskan laporan beliau menjadi buruan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) hanya spekulasi semata-mata.
Pemain kelahiran Argentina itu berkata, fokusnya kini hanya tertumpu kepada kelab La Liga, Alaves serta keluarga tanpa memikirkan sebarang desas-desus perpindahan luar jangka.
“Sejujurnya saya tidak tahu apa-apa. Ejen saya juga tidak pernah maklumkan sebarang perkara berhubung tawaran daripada mana-mana kelab EPL.
“Kini, fokus saya hanya kepada Alaves dan keluarga,” katanya.
Sebelum ini, media Sepanyol, Cadena SER melaporkan terdapat minat dari sebuah kelab EPL yang dikatakan sanggup mengemukakan tawaran mencecah 10 juta euro (RM49 juta) pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas.
Bagaimanapun, tawaran itu ditolak Alaves kerana bimbang tidak sempat mencari pengganti pemain pertahanan tengah itu..
Garces, 26, baru sahaja membuat penampilan kedua bersama Harimau Malaya ketika menentang Singapura, namun tidak disenaraikan menentang Palestin pada 8 September selepas kembali ke
Sepanyol bagi membantu persiapan Alaves menghadapi Athletic Bilbao dalam saingan La Liga.
Turut tidak bersama skuad kebangsaan untuk aksi menentang Palestin ialah kapten Harimau Malaya, Dion Cools yang kembali menyertai kelab Jepun, Cerezo Osaka.-UTUSAN