Bersatu sepakat sokong Muhyiddin sebagai calon PM ke-11

Bersatu sepakat sokong Muhyiddin sebagai calon PM ke-11

MUHYIDDIN Yassin pada sidang akhbar Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di Shah Alam, Selangor hari ini. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara meluluskan usul ucapan dasar Presiden sekali gus menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perwakilan turut bersepakat mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-11 mewakili Bersatu.

“Perkara itu dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 yang berlangsung pada 6 dan 7 September dengan penyertaan 20 pembahas mewakili negeri, sayap parti serta wakil mahasiswa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbahasan sepanjang dua hari itu turut menyentuh pelbagai isu utama termasuk kos sara hidup, ekonomi global dan serantau, perpaduan rakyat serta perkembangan politik semasa.

“Perwakilan juga menegaskan tekad untuk terus bekerja kuat di lapangan dan memperkukuh keupayaan jentera pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin dalam sidang akhbar selepas penangguhan PAT berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada barisan kepimpinan parti.

“Apa-apa keputusan rasmi akan diumumkan oleh Setiausaha Agung parti. Tidak sesuai untuk saya mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN