KANGAR: Jaguh pecut dalam pembikinan, Danish Iftikhar Muhammad Roslee bersedia menggalas misi besar ke Sukan SEA 2025 selepas Muhammed Azeem Fahmi sah tidak menyertai temasya dwitahunan itu.
Sedar bakal memikul tanggungjawab besar dalam acara riben biru, Danish Iftikhar yang bakal membuat penampilan sulung di Sukan SEA tersebut akan berusaha menyaingi pelari-pelari berpengalaman dari Asia Tenggara.
Selain acara 100 meter (m), atlet muda berusia 18 tahun dari Johor itu juga menjadi sandaran bersama Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Pengiran Aidil Auf Hajam untuk merangkul pingat dalam acara 4x100m di Thailand.
Dalam terbuka India awal Ogos lalu, Danish Iftikhar berada di kedudukan ketiga di belakang
Muhammad Azeem dengan masa 10.50 saat (s) manakala jaguh pecut negara itu mendapat tempat pertama dengan catatan masa 10.35s.
Pada Terbuka Malaysia pada minggu lalu, Danish Iftikhar memperbaiki catatan itu apabila muncul juara dengan masa 10.26s, sekali gus muncul pelari terbaik negara ketika ini.
Katanya, Sukan SEA Thailand juga bakal menjadi medan kepadanya menimba pengalaman
bersaing dengan atlet-atlet dari Asia Tenggara selain cuba memperbaiki rekod peribadi.
“Dengan ketiadaan Azeem, saya sedia buat yang terbaik untuk individu 100m. Tetapi kita tidak boleh jangka apa-apa untuk Sukan SEA nanti. Pada masa ini, saya akan terus mengikut perancangan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan barisan kejurulatihan.
“Insya-Allah saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk Sukan SEA Thailand nanti. Saya juga akan terus kekalkan stamina dan konsisten dalam latihan menjelang Sukan SEA,” katanya.
Katanya, dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi di dalam Sukan SEA nanti dan jika berjaya ia merupakan rezeki dari Allah SWT.
Terdahulu, Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim mengesahkan Azeem tidak akan menyertai Sukan SEA kerana jaguh pecut itu dalam proses pemulihan selain memberi tumpuan kepada persiapan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.
Karim berkata, biarpun merasai ketiadaan Azeem namun ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pelari lain untuk menyinar.
“Kita ada pelari seperti Danish yang sudah mencatat 10.26s walaupun belum menyamai catatan terbaik Azeem 10.09s. Dengan adanya mereka, kita yakin skuad ini tetap berdaya saing,” katanya.-UTUSAN