TOKYO: Botswana melakar detik bersejarah apabila muncul juara dunia acara 4×400 meter (m) lelaki buat kali pertama dalam sejarah negara Afrika.
Kuartet Botswana mengejutkan gergasi Amerika Syarikat (AS) dan Afrika Selatan dengan catatan 2 minit 57.76 saat (s) dalam perlumbaan akhir penuh dramatik.
Pelari muda sensasi, Collen Kebinatshipi yang juga juara 400m individu, menjadi wira apabila memecut deras pada 100m terakhir meskipun hujan lebat membasahi trek.
“Saya tahu saya perlu berlari dengan strategi kerana cuaca hujan, tetapi di 80m terakhir saya mula menolak dan saya bersyukur pulang dengan dua pingat emas,” katanya.
Botswana turut dibarisi juara Olimpik 200m, Letsile Tebogo yang membantu memastikan rentak mantap sehingga ke garisan penamat.
Kejayaan ini sekali gus menamatkan dominasi AS yang sebelum ini memenangi sembilan daripada 10 edisi terakhir acara berprestij itu.
“Saya mahu hadir ke sini untuk memberi motivasi kepada rakan sepasukan dan kami berjaya membawa pulang emas,” kata Kebinatshipi
Selepas perlumbaan, pasukan Botswana meraikan kemenangan bersejarah itu dengan tarian di tengah hujan, simbolik kebangkitan atlet Afrika di pentas dunia. – AGENSI