Wan Rohaimi harap Penang FC bangkit

Wan Rohaimi harap Penang FC bangkit

Pemain Penang FC, Dylan Christopher Charles Wenzel Halls (kanan) diasak pemain Kelantan The Real Warriors FC, T. Saravanan dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, kelmarin. UTSUAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail belum bersedia untuk menekan butang panik meskipun anak buahnya hanya mengutip satu mata selepas empat aksi Liga Super musim ini.

Menurut ketua jurulatih yang berasal dari Kelantan itu, beliau yakin dengan kemampuan barisan pemain dan percaya mereka mampu bangkit untuk memburu tiga mata penuh yang pertama selepas ini.

“Saya nampak perlawanan demi perlawanan kita ada peningkatan. Dari segi tenaga, keserasian pun ada peningkatan. Tetapi, kita masih tak boleh dapat tiga mata pertama dalam liga. Jadi, insya-Allah, saya boleh katakan dan berani katakan bahawa keadaan ini akan berubah,” katan Wan Rohaimi.

Selain merekodkan satu keputusan seri iaitu ketika bertemu Melaka FC di gelanggang lawan, skuad Harimau Kumbang tewas dalam tiga lagi perlawanan yang kesemuanya berlangsung di tempat sendiri iaitu Stadium Bandaraya.

Mengulas mengenai kekalahan terbaharu kepada Kelantan The Real Warrior (TRW) 0-1 kelmarin, Wan Rohaimi berkata, Penang FC tidak bernasib dan telah berjuang bermati-matian untuk memburu gol dalam perlawanan tersebut.

“Saya hormat dengan pemain-pemain saya. Walaupun ketinggalan satu gol dan bermain dengan 10 orang, kita masih mampu untuk memberi cabaran kepada Kelantan TRW untuk 45 minit yang kedua (separuh masa kedua),” katanya.

Wan Rohaimi juga optimis dengan persembahan dua pemain import baharu Penang FC iaitu Obilor Faith Friday dan OJ Porteria dan berharap mereka mampu menyesuaikan diri dengan pasukan dalam masa yang terdekat.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan TRW, E. Elavarasan berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang berjaya mengekang asakan tuan rumah untuk memburu gol penyamaan terutamanya pada minit-minit terakhir perlawanan.

“Dapat tiga mata apabila kita main ‘away’ (di gelanggang lawan) bagi saya itu sudah cukup bagus. Pemain bermain dengan baik dan cemerlang. Penang FC pun bermain dengan baik walaupun beraksi dengan 10 pemain,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN