GEORGE TOWN : Kejayaan membawa pulang tiga mata berharga dari Stadium Bandaraya selepas menundukkan tuan rumah, Penang FC 2-1 semalam memberikan sedikit kelegaan kepada pengendali Kuala Lumpur City (KL City FC), Risto Vidakovic.
Vidakovic berkata, kemenangan tersebut juga sedikit sebanyak telah meredakan tekanan dan jangkaan ramai pihak terhadap kemampuan The City Boys musim ini.
“Bagi saya, ini (menentang Penang FC) baru perlawanan ketiga (dalam saingan Liga Super musim ini). Jadi, saya rasa tidak wajar untuk meletakkan tekanan yang terlampau tinggi terhadap kami.
“Saya juga nampak pasukan ini (KL City FC) semakin berkembang dalam setiap perlawanan. Hari ini, kami berjaya bertahan (selepas mendahului) terutama pada 10 minit terakhir perlawanan apabila pasukan lawan banyak melakukan hantaran jauh (untuk memburu gol),” katanya.
Dalam perlawanan itu, tonggak pertahanan, Kamal Azizi Mohamad Zabri muncul wira KL City FC apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77 selepas gol awal Muhammad Safawi Rahid pada minit ke-34 berjaya disamakan oleh kapten Penang FC, Stefano Brundo pada minit ke-48.
Mengulas mengenai persembahan Safawi pula, Vidakovic berkata, dia berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh pemain kelahiran Terengganu itu ketika ini.
“Bagi saya, dia (Safawi) bermain dengan sangat baik dan berjaya menjaringkan gol. Selain Safawi, saya melihat pemain-pemain lain terutamanya mereka yang baru sahaja bersama dengan pasukan ini juga boleh bermain dengan baik.
“Mereka cuma mereka memerlukan sedikit keyakinan, gol serta perlawanan yang baik untuk terus meningkat,” katanya yang turut menyifatkan penampilan sulung pemain kelahiran Sepanyol, Victor Ruiz juga agak baik walaupun masih dibelenggu oleh masalah kecergasan ketika ini.-UTUSAN