Saiz ketumbuhan makin membesar, Farah Lee jalani pembedahan selepas raya - Utusan Malaysia

Saiz ketumbuhan makin membesar, Farah Lee jalani pembedahan selepas raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan aktivis, Farah Lee bakal berehat panjang daripada menyertai misi kemanusiaan bagi memberi tumpuan kepada tahap kesihatan dirinya.

Menurut Farah atau Nur Farahin Romli, ketumbuhan sista (cyst) yang dikesan sejak dua tahun lalu didapati semakin membesar, sekali gus memerlukannya menjalani pembedahan pada April ini, selepas sambutan Aidilfitri.

“Saya menangguhkan rawatan sehingga selepas raya kerana mahu menyelesaikan beberapa misi kemanusiaan yang telah dirancang lebih awal.

“Memang ada salah satu cyst yang semakin membesar, namun saya belum sempat menjalani pembedahan. Alhamdulillah, setakat ini ia tidak membahayakan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem The Voice of Hind Rajab baru-baru ini.

Farah berkata, faktor kesibukan melampau selain mengalami sindrom pasca-traumatik (post-traumatic syndrome) dipercayai menjadi antara punca ketumbuhan tersebut membesar dengan lebih cepat.

“Hormon saya tidak seimbang dan ditambah pula dengan sindrom pasca-traumatik. Cyst itu sekarang sudah agak besar.

“Walaupun doktor memaklumkan ia tidak berbahaya buat masa ini, saya tetap perlu menjalani prosedur pembedahan untuk membuangnya,” jelasnya.

Bagaimanapun, demi komitmen terhadap kerja-kerja kebajikan, Farah mengambil keputusan menangguhkan prosedur tersebut sehingga selepas Aidilfitri bagi memastikan semua jadual misi yang telah diatur dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Insya-Allah saya akan ke Aceh, Indonesia bagi menyertai misi bantuan banjir yang keadaannya sangat teruk dan memerlukan sokongan segera.

“Beberapa hari selepas pulang, saya akan ke Laos untuk membantu komuniti Muslim di sana. Sepanjang Ramadan ini pula, saya tidak berada di Malaysia kerana akan ke Syria dan Afghanistan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN