PETALING JAYA: Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain kini memberi fokus untuk meningkatkan prestasi anak buahnya sebelum membuka kempen dalam Kelayakan Piala Asia B-23 2025.
Menurut Nafuzi, aksi persahabatan menentang Oman dan Kuwait juga akan dijadikan medan untuk menilai prestasi keseluruhan pemain sebelum aksi kelayakan yang bermula pada 1 hingga 9 September ini.
“Perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Oman menjadi ujian sebenar untuk menilai tahap pasukan sebelum kita turun beraksi dalam kelayakan.
“Saya percaya aksi pemanas badan ini akan memberi gambaran jelas dan menajamkan prestasi pemain sebelum bertemu Lubnan pada perlawanan pertama,” katanya.
Skuad B-23 negara berlepas awal ke Thailand semalam bagi memastikan persiapan awal dapat dilaksanakan termasuk berdepan Oman dan Kuwait dalam aksi persahabatan.
Malaysia bakal membuka cabaran Kumpulan H dengan menentang Lubnan pada 3 September, sebelum bertemu Mongolia (6 September) dan menutup saingan peringkat kumpulan menentang tuan rumah, Thailand pada 9 September.
Kempen kelayakan Piala Asia ini menjadi medan untuk anak buah Nafuzi menebus maruah apabila tersingkir awal pada saingan Piala ASEAN B-23 2025.
Hanya juara setiap kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Arab Saudi dari 7 hingga 25 Jan tahun depan.-UTUSAN