KANGAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membuktikan hubungan diplomasi yang baik dengan kuasa-kuasa besar dalam membebaskan semua 23 rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim Zionis.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, kerajaan juga telah berjaya memberi tekanan kepada Israel bagi membebaskan sukalewan tersebut dan ia merupakan satu kejayaan membanggakan.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa prihatin mengenai keselamatan rakyat Malaysia dan memantau perkembangan secara dekat sepanjang misi GSF tersebut.
“UMNO Perlis mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana menggunakan segala hubungan diplomasi yang baik dengan kuasa-kuasa besar dan kita berjaya beri tekanan kepada Israel membebaskan dan melepaskan rakyat Malaysia yang ditahan itu.
“Ini satu kejayaan yang besar ditunjukkan kerajaan di mana kerajaan sentiasa prihatin dengan keselamatan rakyat kita yang berada di luar. Ia juga satu permulaan baik dan saya harap atas kejayaan ini tidak melunturkan semangat rakyat Malaysia dalam terus membela Palestin,” katanya di sini semalam.
Sebelum itu, semua 23 rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF yang ditahan rejim Zionis Khamis lalu dibebaskan dan dibawa ke Istanbul, Türkiye.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, pembebasan itu berlaku selepas kesemua mereka yang ditahan menandatangani arahan pengusiran dari Israel.
Pembebasan semua rakyat Malaysia itu hasil diplomasi Kerajaan Malaysia dengan pelbagai pihak termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani; Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio dan banyak lagi.
Sementara itu, Rozabil berkata, perjuangan dalam membela nasib rakyat Palestin perlu diteruskan.
“Meskipun kita sebuah negara tidak mempunyai kuasa tentera, kuasa ekonomi yang besar tetapi kita masih menyuarakan demi rakyat Palestin. Soal Palentin ini, bukan soal agama sebaliknya ia membabitkan kemanusiaan,” kata Ketua UMNO Bahagian Arau itu.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, seluruh rakyat termasuk parti politik tanpa mengira fahaman perlu menunjukkan kebersamaan dan sokongan atas usaha kerajaan membawa pulang semua 23 rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF.
“Setiap ahli politik perlu bersikap lebih bijak dengan tidak menunggang isu tersebut bagi kepentingan politik masing-masing. Kebersamaan semua pihak adalah penting dalam usaha membawa perjuangan membantu rakyat Palestin dan membawa pulang sukarelawan terlibat,” katanya. – UTUSAN










