Penduduk Israel bimbang Ben-Gvir, Smotrich gagalkan usaha pembebasan tebusan

Penduduk Israel bimbang Ben-Gvir, Smotrich gagalkan usaha pembebasan tebusan

ITAMAR Ben-Gvir (kiri) dan Bezalel Smotrich menolak perjanjian gencatan senjata yang disokong AS. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan memanggil dua menteri pelampau, Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich untuk menghadiri mesyuarat tergempar yang membincangkan cadangan pertukaran tahanan dan gencatan senjata dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Keluarga tahanan Israel yang masih berada di Gaza meluahkan kebimbangan kedua-dua menteri itu mungkin menggagalkan rundingan damai tersebut.

Ketua pembangkang, Yair Lapid, menegaskan pada Sabtu Ben-Gvir dan Smotrich tidak akan mampu menggagalkan pelan Trump untuk menamatkan perang di Gaza.

“Dalam masa kurang dua jam, apabila Shabbat berakhir dan anda mendengar ancaman daripada Smotrich dan Ben-Gvir, ingat mereka tiada apa untuk diancamkan. Kami tidak akan membenarkan mereka menggagalkan perjanjian ini,” tulis Lapid di platform X.

Lapid berkata, majoriti ahli Knesset dan rakyat Israel menyokong pelan Trump tersebut.

Bekas ahli Kabinet Perang, Gadi Eisenkot, pula menyifatkan cadangan itu sebagai peluang terakhir untuk membawa pulang semua tebusan, walaupun ia memerlukan keputusan yang sukar.

Sementara itu, laporan ABC News memetik sumber rasmi Netanyahu mengadakan mesyuarat keselamatan bagi meneliti senarai tahanan Palestin yang terlibat serta membincangkan senario pengunduran tentera Israel dari Gaza.

Seorang pegawai kanan Israel memberitahu rangkaian itu, penghentian sementara operasi ketenteraan baru-baru ini bertujuan memudahkan penyusunan proses pertukaran tahanan, dan bukan bermaksud gencatan senjata rasmi atau permulaan pengunduran tentera.

Pada Jumaat, Hamas memaklumkan pihaknya menyerahkan maklum balas rasmi terhadap pelan Trump kepada pihak perantara, dengan menyatakan kesediaan untuk membebaskan semua tebusan Israel sama ada hidup atau telah meninggal dunia mengikut kerangka yang dicadangkan.

Hamas turut menegaskan kesediaannya untuk menyerahkan pentadbiran Gaza kepada sebuah badan teknokrat Palestin bebas yang dibentuk berdasarkan konsensus kebangsaan serta disokong oleh negara Arab dan Islam.

Namun, pergerakan itu menegaskan bahawa masa depan Gaza dan hak rakyat Palestin mesti ditentukan melalui kerangka perpaduan nasional Palestin.

Trump turut menggesa Israel agar menghentikan pengeboman di Gaza supaya proses pembebasan tebusan dapat dilakukan dengan selamat dan segera, menyifatkan keadaan semasa sebagai terlalu berbahaya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN