Munoz akui serangan JDT masih tumpul

Munoz akui serangan JDT masih tumpul

PENJAGA Gol UM-Damansara, Ameerul Eqhwan Fauzi (kiri) bekerja keras bagi mengekang asakan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Romel Morales (tengah) dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), kelmarin.- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui sentuhan penyudah anak buahnya masih kurang tajam biarpun membenam UM-Damansara 5-0 pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA, kelmarin.

Menurut ketua jurulatih kelahiran Sepanyol itu, corak permainan bertahan yang ditunjukkan pasukan lawan menyukarkan pergerakan pemainnya dalam melakukan serangan ke arah kubu lawan.

“Apabila kami berjaya memecahkan kebuntuan di babak pertama, permainan menjadi sedikit terbuka pada babak kedua dan kami mula mendapat rentak dan beraksi dengan lebih baik.

“Seharusnya, kami bermain lebih agresif pada awal permainan dengan corak taktikal berintensiti tinggi namun pemain dilihat seolah-olah hilang punca dan bergelut untuk beraksi seperti yang diterapkan.

“Gaya persembahan pemain tampak lebih tersusun pada babak kedua dan hasilnya kita berjaya meletakkan jurang antara kedua pasukan apabila menjaringkan empat gol,” katanya selepas perlawanan.

Ditanya mengenai aksi Celso Bermejo yang membuat penampilan pertamanya, Munoz menyifatkan penyerang muda berusia 20 tahun itu mampu menyinar bersama skuad utama JDT.

“Walaupun dia dimasukkan agak lewat, namun dalam tempoh yang pendek itu dia mampu memberi impak kepada jentera serangan dan melengkapkan pesta gol JDT pada perlawanan itu,” ujarnya.

Mengulas persembahan pasukan selepas tiga perlawanan, Munoz melihat masih ada perkara yang perlu ditingkatkan lagi dan yakin skuad Harimau Selatan mampu beraksi dengan lebih baik lagi.

“Memandangkan JDT dibarisi ramai pemain baharu, kelicinan pergerakan itu masih belum berada di tahap optimum, jadi ini perlu diperkasakan selain mempertingkat kemahiran masing-masing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN