JOHOR BAHRU: Pemain warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo menyifatkan ‘taring’ Harimau Selatan kurang tajam ketika menundukkan Lion City Sailors 3-1 pada perlawanan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee, kelmarin.
Figueiredo, 29, berkata, Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu berpesta gol pada perlawanan itu sekiranya setiap serangan yang dilancarkan menemui sentuhan penyudah yang tajam.
Beliau yang meledak dua gol pada perlawanan itu berkata, Harimau Selatan mendominasi perlawanan pada babak pertama, namun mensia-siakan deretan peluang untuk mencipta jaringan yang lebih besar.
“Kami mengawal perlawanan pada separuh masa pertama dengan baik dan melancarkan serangan bertali arus, seharusnya kami menjaringkan lebih banyak gol.
“Apa pun secara keseluruhannya, kesemua pemain telah memberikan aksi yang terbaik di sepanjang perlawanan ini,”kata pemain terbaik perlawanan itu.
Figueiredo meledak dua gol manakala satu gol lagi dijaringkan Arif Aiman Hanapi bagi menghadiahkan tiga mata berharga buat JDT yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan tersebut.
Menurut Figueiredo, dia merasa sangat gembira kerana dapat membantu JDT dan berharap pasukan kendalian Xisco Munoz itu mampu melangkah lebih jauh dalam saingan ACC Piala Shopee.
Dengan meletakkan perlawanan itu menjadi penanda aras, pemain warisan itu turut berkobar-kobar untuk membantu skuad Harimau Selatan menjulang trofi kejuaraan tersebut buat julung kalinya.
“Dengan kualiti yang dimiliki pasukan, saya merasakan JDT bukan sahaja mampu mara lebih jauh dan tidak keterlaluan untuk mengatakan pasukan mampu untuk memenanginya,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali JDT, Xisco Munoz, berkata, pemain perlu mengekalkan rentak permainan berintensiti tinggi pada perlawanan seterusnya bagi mencapai kemenangan 100 peratus di peringkat Kumpulan B.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, pemain berjaya memberi tekanan kepada pasukan kendalian Aleksandar Rankovic itu hingga memaksa lawan melakukan kesilapan yang membawa kepada dua jaringan gol awal.
“Pada awal permainan, kita bermain dengan baik dan mampu untuk menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan jumlah serangan dilakukan. Kita juga menguasai permainan dengan baik.
“Bagaimanapun, bukan mudah untuk kita mengekalkan intensiti permainan sepanjang 95 minit seperti yang dilakukan pada babak pertama namun kita berjaya mengekang kemaraan pasukan lawan,” katanya selepas perlawanan.-UTUSAN










