MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim kecewa dengan kesilapan mudah penjaga gol Altay Bayindir yang menghadiahkan gol kemenangan kepada Arsenal dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, semalam.
United yang tampil dengan wajah baharu musim ini tunduk 0-1 menerusi tandukan Riccardo Calafiori pada minit ke-20 yang berpunca daripada reaksi lemah Bayindir ketika cuba menumbuk bola hasil sepakan sudut.
Amorim mengakui prestasi keseluruhan pasukan semakin baik berbanding musim lalu, namun tidak dapat menyembunyikan kekecewaan terhadap aksi longgar di benteng terakhir The Red Devils.
“Kalau anda lihat gol itu, jelas penjaga gol perlu lebih berani. Dia sepatutnya menangkap bola, bukannya menolak lawan sambil membiarkan bola jatuh kepada pemain Arsenal. Dalam situasi begitu, dia mesti membuat keputusan tepat,” tegas Amorim.
Pengendali dari Portugal itu menegaskan United juga perlu lebih keras di situasi bola mati jika mahu menyaingi pasukan besar seperti Arsenal.
“Di sudut penalti, mereka dibenarkan bermain kasar. Jadi kami juga perlu lakukan perkara yang sama. Jika tidak, kami akan terus dihukum,” katanya.
Bayindir dipilih mengisi kesebelasan utama menggantikan Andre Onana yang masih belum cergas sepenuhnya, namun kesilapan tersebut mengundang persoalan mengenai kedudukannya dalam skuad utama.
Bagaimanapun, Amorim tetap optimis pasukan yang dibina semula musim ini mampu memberi saingan.
“Kami lebih agresif berbanding musim lalu, dan dengan pemain seperti Matheus Cunha serta Bryan Mbeumo, saya percaya kami boleh mencabar sesiapa sahaja,” ujarnya.-AGENSI