Tiada alasan, wajib benam Brunei

Tiada alasan, wajib benam Brunei

SKUAD Bawah 23 tahun negara tewas kepada Filipina pada aksi pertama Kumpulan A Piala ASEAN B-23 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, indonesia.-IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara kini berdepan misi hidup mati dalam kempen Piala ASEAN B-23 2025 dan wajib membenam Brunei dalam perlawanan kedua hari ini.

Jurang kualiti antara Malaysia dan Brunei mungkin besar di atas kertas, namun ia bukan satu jaminan untuk anak-anak buah Nafuzi Zain melakar kemenangan tanpa bekerja keras di atas padang.

Kekalahan mengejut 0-2 kepada Filipina pada aksi pembukaan Kumpulan A memberi tamparan hebat kepada skuad muda negara, meskipun mereka dilihat mendominasi sebahagian besar permainan.

Kekalahan berkenaan harus dijadikan pengajaran penting menjelang aksi kedua menentang Brunei di Stadium Gelora Bung Karno, petang ini.

Lebih membimbangkan, tuan rumah Indonesia membelasah Brunei 8-0, sekaligus meletakkan tekanan berganda kepada skuad muda negara yang kini wajib mencatat kemenangan besar bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir.

“Saya tetap bangga dengan semangat yang ditunjukkan pemain. Walaupun ketinggalan, mereka tidak pernah berputus asa. Mungkin nasib belum menyebelahi kami ketika bertemu Filipina,” kata Nafuzi .

Menurut pengendali berusia 46 tahun itu, skuadnya kini perlu segera memperbaiki kelemahan di setiap posisi sama ada di benteng pertahanan, jentera tengah mahupun barisan serangan.

Skuad B-23 wajib mencipta kemenangan meyakinkan kerana ia bukan sahaja penting untuk merebut tempat ke peringkat seterusnya, tetapi juga bagi meredakan kritikan peminat yang kecewa dengan prestasi hambar sebelum ini.

Pertahanan negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, pula menegaskan tiada yang mustahil dalam bola sepak, namun percaya segala-galanya bermula daripada keyakinan dalam diri pemain.

“Kami belajar sesuatu daripada kekalahan lalu dan kini sedia bangkit. Jalan yang kami pilih memang sukar, tapi selagi kami masih percaya, peluang untuk mara tetap ada,” ujarnya.

Dengan semangat juang tinggi dan matlamat yang jelas, skuad muda negara kini perlu buktikan mereka bukan sekadar pelengkap kumpulan tetapi pencabar sebenar dalam kejohanan kali ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN