PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menempah slot ke suku akhir Terbuka Jepun dengan kemenangan bergaya ke atas pasangan Singapura, Terry Hee-Jin Yu Jia, sebentar tadi.
Dalam aksi pusingan kedua di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, gandingan No. 6 dunia tidak berdepan masalah apabila mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-17 dalam masa 32 minit.
Ini merupakan pertemuan sulung antara kedua-dua beregu, dan kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau kemenangan pusingan pertama buat pasangan negara di kejohanan tersebut.
Rekod terdahulu menyaksikan Soon Huat-Shevon sering terkandas seawal pusingan pertama di Jepun, termasuk edisi lalu apabila tunduk kepada pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi.
Mereka bakal membuat perhitungan menentang rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin atau pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada aksi suku akhir esok. – UTUSAN