Bukan mudah walaupun cuma turun enam sen - Anwar

Bukan mudah walaupun cuma turun enam sen – Anwar

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2025 di Dataran Darulaman, Jitra.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tidak mudah untuk kerajaan menurunkan harga petrol RON95, walaupun hanya enam sen kerana perlu mengambil kira implikasi kewangan terhadap negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, oleh kerana itu beliau mengambil masa beberapa hari untuk memastikan penilaian dibuat secara menyeluruh sebelum mengumumkan penurunan harga RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, Rabu lalu.

“Kita turunkan harga minyak kepada RM1.99 sen, ya memang negara seperti Thailand dan Singapura sudah turun harga lebih awal, tetapi harga kita lebih rendah dan ini untuk manfaat rakyat Malaysia.

“(Kalau) nak kata tak bersyukur atau tak setuju, tak mengapa tetapi bukan mudah, sebab itu ambil masa berhari-hari, jadi jangan diremehkan benda ini, mereka kata beza enam sen tapi mereka tidak dengar penerangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2025, di sini hari ini.

Anwar turut menjawab kritikan terhadap keputusan kerajaan yang tidak melanjutkan subsidi bahan api kepada warga asing dengan menegaskan bahawa bantuan itu hanya untuk rakyat Malaysia kerana orang asing tidak membayar cukai kepada kerajaan.

“Saya pelik bila pembangkang kata kita membebankan orang asing, kononnya mereka juga menyumbang kepada negara. Saya tak faham, di mana dalam dunia orang asing dilayan sama seperti warganegara,” katanya.

Mengulas kritikan lain, Perdana Menteri mempertahankan bantuan tunai sekali beri RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

“Bantuan RM100 ini datang daripada peningkatan peruntukan kerajaan daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion. Suami dan isteri masing-masing akan menerima RM100 dan jika ada anak berusia 18 tahun ke atas, mereka juga akan dapat,” katanya.

Anwar turut menekankan keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol, sambil mengakui langkah itu memberi implikasi kewangan sehingga RM500 juta kepada peruntukan persekutuan.

“Menurut perjanjian, kadar tol sepatutnya naik tahun ini. Saya bukan orang yang tandatangan perjanjian itu, kerajaan dahulu yang tandatangan. 

“Kalau tol tak naik, kerajaan perlu bayar pampasan kepada syarikat konsesi, tetapi kita pilih untuk tak naikkan, supaya rakyat tak terbeban. Jadi walaupun tiada ucapan terima kasih, sekurang-kurangnya janganlah kutuk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN