PETALING JAYA: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain mengakui telah mempunyai bayangan kesebelasan utama yang bakal digunakan di Kejohanan Piala AFF B-23 di Jakarta, Indonesia.
Pasukan muda negara akan terbang ke Jakarta esok, sebelum membuka kempen saingan berdepan Filipina pada Selasa ini dan sasaran tiga mata menjadi keutamaan.
Nafuzi secara keseluruhan berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan semua pemain sepanjang kem latihan pusat dan juga dalam tiga perlawanan persahabatan yang merekodkan dua kemenangan selain tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan, kelmarin.
Begitupun, Nafuzi enggan panik dan menyifatkan bahawa kekalahan berkenaan tidak menjejaskan persiapan pasukannya kerana keputusan bukan menjadi keutamaan dalam membina skuad terbaik ke Jakarta.
“Secara keseluruhan kita melihat bagaimana prestasi pasukan dan pemain dari semasa ke semasa sepanjang kem latihan, bukan kita tengok kepada keputusan sahaja.
“Stamina, keserasian dan kefahaman antara satu sama lain juga dinilai sepanjang kem latihan ini. Setiap perlawanan persahabatan kita menerapkan beberapa taktikal untuk melihat kesesuaian kepada pemain, selain cuba memperbaiki kelemahan yang ada.
“Setiap pemain menunjukkan peningkatan dari masa ke semasa, prestasi pasukan juga meningkat dan ada perubahan. Untuk bayangan (kesebelasan utama) kita sudah ada bagi membentuk gandingan terbaik,” kata Nafuzi.
Terdahulu pada perlawanan persahabatan pertama, skuad Harimau Muda mencatat kemenangan 1-0 ke atas PDRM, kemudian menang 4-1 ke atas Melaka FC, sebelum tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan.
Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei.- UTUSAN