Bina stadium khas olahraga

Bina stadium khas olahraga

Olahraga Malaysia (MA) meminta agar kerajaan membina stadium khas untuk sukan olahraga. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim merayu agar kerajaan mempertimbangkan pembinaan sebuah stadium khusus untuk sukan olahraga.

Menurut Karim, dengan adanya stadium khas, ia dapat memastikan pembangunan sukan tersebut tidak lagi bergantung kepada kemudahan yang dikongsi dan bersifat sementara.

Karim yang kembali menerajui kepimpinan MA menegaskan, sukan olahraga tidak mempunyai stadium khas, walaupun sekian lama menjadi tunjang sukan prestasi tinggi di negara ini.

“Saya amat sedih kerana sehingga kini, kita masih tidak ada sebuah stadium khusus untuk acara olahraga. Sudah 30 tahun perkara ini disebutkan.

“Bukan niat kita hendak ganggu penggunaan kemudahan oleh sukan lain, tetapi kita perlukan satu fasiliti khusus yang lengkap dari trek, tempat balingan, lompatan hingga ke penginapan atlet,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Karim, usaha mewujudkan pusat latihan berprestasi tinggi pernah dibentangkan ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk cadangan mendapatkan tanah khas bagi pembinaan kemudahan itu.

“Kita pernah mohon kepada Menteri Wilayah Persekutuan untuk tanah, dan World Athletics bersedia bantu sediakan trek. Tapi sehingga kini masih belum jadi kenyataan,” katanya.

Beliau juga menyatakan hasrat agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan pembinaan stadium tersebut secara berfasa.

“Kalau tidak boleh di Kuala Lumpur, kita boleh buat di Selangor, Hulu Selangor atau mana-mana negeri yang sanggup beri tanah.

“Kita boleh mulakan dengan trek dahulu. Kita tidak minta yang mewah, cukup ada kemudahan untuk balingan, larian dan lompatan, supaya atlet tidak perlu bersaing dengan pengguna lain untuk latihan,” tegasnya.

Beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap situasi semasa di mana banyak acara balingan terpaksa dijalankan di tempat berasingan kerana bimbang merosakkan padang utama.

Beliau turut menggesa KBS agar memberi perhatian kepada keperluan dana sukan olahraga, terutamanya bagi menyokong program pembangunan jangka panjang yang melibatkan atlet remaja dan pelapis.

“Ini bukan soal saya, ini soal masa depan olahraga negara. Sudah terlalu lama kita menumpang. Kalau mahu lihat Malaysia berdiri sama tinggi di pentas dunia, kita mesti bermula dengan satu asas iaitu stadium untuk olahraga,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN