PETALING JAYA: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Adne Willemjan Van Engelen mengakui puas dengan pencapaiannya apabila meraih tempat ketiga keseluruhan dalam saingan Jelajah Gyeongnam yang melabuhkan tirainya semalam.
Adne berkata, segala usaha keras yang dilakukan oleh TSG membuahkan hasil sepanjang jelajah tersebut selepas dua rakan sepasukannya iaitu Wan Abdul Rahman Hamdan dan Vadim Pronskiy turut mempamerkan kayuhan cemerlang.
“Secara keseluruhan ini perlumbaan yang bagus kepada pasukan. Kami cuba berusaha setiap hari apa yang kami boleh lakukan. Kami buat yang terbaik dan cuba untuk menang.
“Saya gembira dengan kerja yang dilakukan oleh pasukan dan kami teruja untuk mengharungi baki saingan musim ini,” katanya.
Jelajah Gyeongham yang bermula Rabu lalu di Korea Selatan melibatkan lima peringkat menyaksikan dengan pencapaian terbaik Adne muncul naib juara di peringkat kedua selepas menamatkan kayuhan 3 jam 13:39 saat (s).
Kayuhan konsisten yang dipamerkan Adne sepanjang Jelajah Gyeongham membolehkan dia mencatat keputusan ketiga terendah keluruhan iaitu 13:11:15s di belakang pelumba Roojai Insurance, Dylan Hopkins (13:10:52s) manakala tempat kedua milik Simone Raccani dari JCL Team (13:11:11s).
Adne yang menyertai TSG pada musim ini turut muncul naib juara bagi perebutan gelaran Raja Bukit selepas mengumpul 10 mata ketinggalan satu mata di belakang Dylan manakala tempat ketiga milik Choe Hyeong-min dari pasukan Geumsan Insam Cello dengan sembilan mata. – UTUSAN










