Speedy Tigers lemah pukulan sudut penalti

Speedy Tigers lemah pukulan sudut penalti

PENGERUSI Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Hoki Kebangsaan, Datuk Najmi Razak (kanan) dan Ketua Jurulatih Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh pada sidang akhbar menjelang Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2024-25 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam. Gambar SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh, mengakui skuad kendaliannya ketika ini berdepan masalah untuk menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Sarjit berkata, masalah itu dikesan ketika skuad Speedy Tigers mengharungi beberapa perlawanan dalam dua siri jelajah di Australia dan Korea Selatan baru-baru ini.

Sehubungan itu, Sarjit mengakui dia dan barisan pemain perlu bekerja keras bagi memastikan skuad negara menghasilkan lebih banyak gol menerusi pukulan sudut penalti.

“Macam saya katakan, pasukan kita semakin baik dan kita kita banyak menjaringkan gol menerusi gol padang. Namun, kita kena mendapatkan gol menerusi pukulan sudut penalti

“Sebab itu kita bawa masuk Sohail Abbas (jurulatih pukulan sudut penalti). Seperti di Jelajah Korea Selatan, kita dapat 23 pukulan sudut penalti tetapi kita hanya menjaringkan lima gol sahaja. Okay, sebab flicker kita masih baharu.

“Namun, pada masa sama kita juga membenarkan lawan mendapat 25 pukulan sudut penalti serta dibolosi lima gol. Jadi, kita tidak boleh benarkan situasi ini terus berlaku,” katanya.

Sarjit kini di fasa akhir mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Piala Negara-Negara yang akan diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 15 hingga 21 Jun ini.

Speedy Tigers diletakkan dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Jepun dan Pakistan manakala Kumpulan A dihuni Perancis, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Wales dengan sasaran diletakkan kepada skuad hoki kebangsaan untuk mara ke separuh akhir.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 62 tahun itu berkata, sasaran yang diberikan itu adalah realistik dan mampu dicapai oleh pasukan.

“Setiap kejohanan kita kena ada sasaran, saya sudah bersama pasukan selama setahun. Jadi, saya fikir adil untuk cakap kita patut layak ke separuh akhir. Ini pandangan peribadi saya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN